Sunday 23 May 2010

LONG PA SIA - DAERAH TERASING DILUPAKAN

Day 1
Mendarat untuk pertama kali di bumi Sabah dengan penerbangan Air Asia dari LCCT, Sepang. Penerbangan 2 jam 25 minit lancar dan selamat. Mengambil teksi dengan bayaran RM25.00 untuk 3 orang ke Promenade Apartment Hotel, Kota Kinabalu . Sedia menanti ialah Pak Lah , ketua ekspidisi yang datang lebih awal menguruskan logistik disini. Malam itu di kunjungi Firman - seorang tempatan yang akan membawa kami berempat ke perkampungan Long Pa Sia.

Day 2.
Sepatutnya kami bertolak tetapi terpaksa ditangguhkan kerana hujan lebat di pendalaman menyebabkan air Sungai Maligan naik dan menenggelami satu satunya jembatan untuk ke Long Pa Sia. Kami di nasihat bertolak esok pagi jika paras air surut. Hari itu kami merayau sekitar bandar KK.

Day 3.
Hujan telah reda tetapi keadaan tidak pasti. Kami berbincang dan buat keputusan mengambil risiko kerana tidak boleh menanti lebih lama atas beberapa faktor. Pagi pagi kami mula bertolak dengan menggunakan sebuah pikap. Menghala ke barat di pesisir pantai melalui Papar, Bogawan, Beufort dan berhenti di Sipitang membeli keperluan sambil merisik maklumat dari orang sana yang lalu lalang - air sedang surut tapi tiada seorang pun berani memberi jaminan.
Selepas makan tengahari dan membeli kelengkapan, kami meneruskan perjalanan. Masuk jalan offroad. Mula terasa kesan hujan apabila pergerakan pikap meliar ke kiri dan kanan kerana selut yang licin dan basah. Tiba di jambatan Sungai Maligan dan air sedang deras melintasnya. Firman berhenti dan menguji kedalaman air dan buat keputusan menyeberang. Hati saya kecut kerana sungai tersebut luas dan jeramnya dalam. Jika arus menghanyut pikap, bermakna nasib kami 50/50. Tetapi Alhamdullilah. Selamat. Akhirnya kami tiba di perkampungan Long Pa Sia waktu asar selepas perjalanan sejauh 250 KM. Separuh daripadanya perjalanan offroad dalam gerimis yang mendebarkan. Kami bermalam di rumah Nooh Dawa - guide yang akan membawa kami treking ke Hutan Maga besok. Malam itu Nooh menjamu kami nasi beras bukit yang sangat sedap dan harum baunya.

Day 4.
Hawa di Long Pa Sia sangat sejuk. Penduduk menggunakan sumber air gunung yang disalur secara graviti. Bila bercakap mulut berasap. Kabus tebal menyelimuti persekitaran. Dalam suasana begini, selepas sarapan nasi beras bukit juga, pagi pagi lagi kami memulakan perjalanan ke hutan Maga arah ke sempadan Kalimantan dan Sarawak. Perjalanan di jangkakan selama 6 jam melalui denai, cerun bukit, tebing sungai dan melintas beberapa anak sungai.
Baharu sejam perjalanan, seekor kijang melintas di hadapan. Saya dapat melihat dengan jelas. Tidak lama selepas itu ,ketika menghampiri kem rehat pertama, terserempak seekor lagi kijang jantan sedang makan di tepi denai. Dan ketika hampir tiba di kem terakhir di kuala Sungai Maga dan Sunga Pa Sia, terjumpa seekor lagi kijang betina. Dalam 6 jam treking melintas 3 ekor kijang memberi alamat bahawa binatang liar memang jenuh dan jinak di sini. Selama saya terlibat dengan aktiviti junggle trekking, tidak pernah saya terserempak dengan kijang di Semenanjung kerana kijang terkenal sebagai binatang hutan yang amat sensitif dan liar. Malam pertama di sini sangat sejuk kerana hujan renyai renyai.

Day 5.
Berkhemah di tapak perkhemahan Taman Maga yang di bangunkan oleh Nooh Dawa, seorang aktivis alam sekitar berusia 55 tahun dari kaum Lundaye yang bertanggung jawab keatas penemuan dan pemeliharaan kawasan tersebut. Nooh membawa kami ke taman okid hutan, air terjun dan kesan peninggalan lagenda pahlawan puak Lundaye iaitu Pahlawan Semaring. Menurutnya terdapat 15 spesis orkid hutan di situ tidak terdapat di mana mana pelusuk dunia ini. Ini di akui sendiri oleh beberapa pelancung Barat yang pernah berkunjung kesitu. Selain itu Nooh membawa kami mengenal tumbuhan herba yang sangat berguna dalam perubatan tradisional dan juga digunakan sebagai bahan semulajadi dalam berbagai jenis minuman eksotik.

Day 6.
Bangun pagi kemaskan persekitaran. Hasrat ingin tinggal lebih lama tetapi kami telah kehilangan satu hari dan perlu balik ke KK kerana rakan rakan saya yang dua orang itu pekerja sektor awam. Mereka kehabisan cuti. Dalam perjalanan balik, Nooh membawa kami melalui jalan pintas dengan menyeberangi sungai Maga. Arus yang deras dan batu batu licin sedikit pun tidak menggerunkan mereka. Tanpa bantuan mereka sukar bagi kami menyeberang. Tiba di rumah Nooh waktu Asar. Selepas membersehkan diri dan berkemas serta minum petang , kami bertolak balik ke KK. Di pertengahan jalan, sekitar jam 10 malam, tayar pikup pancit dan kami terpaksa menukarnya di dalam gelap malam dan keadaan jalan basah berselut. Selepas singgah makan di Beufort akhirnya tiba di hotel Promenade hampir jam 1 pagi.

Day 7
Hari untuk berehat dan mengemas barang serta membeli belah untuk di bawa pulang. Merayau di pasar membeli ikan tuna segar dengan harga cukup murah . Ikan bilis dan udang kering jugak. Selain kualiti amat tinggi, harganya sangat rendah. Semasa membeli ikan, apabila di bungkus, akan datang kanak kanak menawarkan bag palstik kepada kita dengan harga 20 sen. Saya bagi satu ringgit, kanak kanak itu menolak sehingga berkali kali saya memberi dan memaksa baru dia ambil. Katanya harga bag palstik itu cuma 20 sen , bukan seringgit. Ternyata dia sangat gembira.

Day 8.
Berkemas untuk pulang. Penerbangan jam 9 malam. Masih ada waktu. Paklah dan Haji Halim yang rajin memasak hari ini memasak sup dan menjemput Firman makan bersama. Pak Lah juga menjemput anak saudaranya turut serta. Tengahari itu kami makan dengan seoronok beramai-ramai. Kebetulan Firman dan anak saudara Pak Lah dulu sama sama menuntut di Al Azhar , Mesir.
Di lapangan Terbang, ketika check in, kami diberitahu penerbangan kami lewat satu jam. Tetapi petugas kaunter menawarkan penerbangan yang akan berlepas sebelum itu jika kami mahu. Tanpa berfikir kami terus setuju dan mengambil penerbangan lebih awal. Tiba di LCCT jam 9.20 malam.







Tuesday 27 April 2010

MENGAIL DI PULAU TENGGOL

Bulan April. Bermakna musim tengkujuh di pantai timur baru berakhir. Kini musim turun ke laut kembali semula setelah berehat lebih tiga bulan. Mansor dan Misman yang mengetuai dan merancang proram ini sejak awal awal telah menempah sebuah bot nelayan di Kuala Dungun. Destinasi kali ini ialah perairan Pulau Tenggol - antara lubuk idaman setiap kaki pancing.
Perjananan dari Bangi ke Kuala Dungun memakan masa lebih kurang lima jam. Kami tiba sejurus sebelum subuh.
Sarapan nasi dagang. Merayau di pasar mencari sotong umpan. Sedikit bekalan makanan dan bahan untuk memasak di atas bot kelak. Dan memunggah peralatan dari kenderaan ke dalam bot. Akhirnya jam sepuluh pagi baru dapat bertolak
Menyusur keluar dari Kuala Dungun, pemandangan waktu pagi sungguh cantik. Cuaca baik sekali. Dari jauh kelihatan pantai pekan Dungun yang menjadi santai pelajar UiTM Trengganu. Perjalanan di jangka mengambil masa dua jam.
Dalam perjalanan kelihatan gerombolan ikan aya atau ikan tongkol berkejar kejar bermain alun. Tekong cuba berputar balik menunda umpan tetapi ia tidak berhasil. Lupakan ikan tongkol, kami berlabuh di unjam pertama. Menggunakan mata kail apollo mencari anak ikan selar atau lolong untu di buat umpan tenggiri.
Menjelang tengahari , semua mula melabuhkan joran. Misman dan wak jawa kawan nya menggunakan kekili elektrik. Rakan rakan lain semuanya dgn joran dan kekili kelas satu. Saya hanya menggunakan kekili DAM model 560 yang saya beli lelong di Jerman dulu. Kecik kemetot dan semua mentertawakan saya. Tidak mengapa. Saya cuma hendak pancing ikan saiz kecil. Saya guna tali kecil dan mata kail kecil serta umpan kecil. Jadi lah saya pemancing ikan lolong ( ikan Uji Rashid).
Sepanjang hari hanya ikan kerapu bara, ikan cermin dan ikan selar yang dapat dinaikkan. Ikan besar tidak kunjung tiba sehingga waktu malam bila Misman berjaya menaikkan seekor tenggiri saiz lebihkurang 15 Kg. Tidak lama lepas itu, rancangan ditukar untuk mencandat sotong. Ketika inilah warna langit mula berubah. Cahaya bulan kian pudar. Di hujung horizon, saya melihat petir memintas mintas. Seketika baru melabuhkan sauh dan rakan saya sempat mendaratkan tiga ekor sotong, laut mula bergelora. Alun semakin kasar. Saya mula pening. Pakai life jaket dan simpan perkakas kemudian baring di bucu buritan bot. Tidak lama lepas itu terasa rintik rintik hujan. Tekong membuat keputusan kembali ke pengkalan. Dalam gelap malam, kami meredah alunan ombak yang bergulung-gulung. Sesekali air laut melimpah di atas dek dan kami terpaksa berdiri dan bergayut pada tiang bumbung bot. Tidak seorang pun bercakap sehingga kami tiba muara Kuala Dungun sejurus sebelum subuh.
Melalui pengalaman hidup seorang nelayan, besar maknanya kepada saya bila hendak menawarkan harga rendah ketika membeli ikan.