Sunday, 23 May 2010

LONG PA SIA - DAERAH TERASING DILUPAKAN

Day 1
Mendarat untuk pertama kali di bumi Sabah dengan penerbangan Air Asia dari LCCT, Sepang. Penerbangan 2 jam 25 minit lancar dan selamat. Mengambil teksi dengan bayaran RM25.00 untuk 3 orang ke Promenade Apartment Hotel, Kota Kinabalu . Sedia menanti ialah Pak Lah , ketua ekspidisi yang datang lebih awal menguruskan logistik disini. Malam itu di kunjungi Firman - seorang tempatan yang akan membawa kami berempat ke perkampungan Long Pa Sia.

Day 2.
Sepatutnya kami bertolak tetapi terpaksa ditangguhkan kerana hujan lebat di pendalaman menyebabkan air Sungai Maligan naik dan menenggelami satu satunya jembatan untuk ke Long Pa Sia. Kami di nasihat bertolak esok pagi jika paras air surut. Hari itu kami merayau sekitar bandar KK.

Day 3.
Hujan telah reda tetapi keadaan tidak pasti. Kami berbincang dan buat keputusan mengambil risiko kerana tidak boleh menanti lebih lama atas beberapa faktor. Pagi pagi kami mula bertolak dengan menggunakan sebuah pikap. Menghala ke barat di pesisir pantai melalui Papar, Bogawan, Beufort dan berhenti di Sipitang membeli keperluan sambil merisik maklumat dari orang sana yang lalu lalang - air sedang surut tapi tiada seorang pun berani memberi jaminan.
Selepas makan tengahari dan membeli kelengkapan, kami meneruskan perjalanan. Masuk jalan offroad. Mula terasa kesan hujan apabila pergerakan pikap meliar ke kiri dan kanan kerana selut yang licin dan basah. Tiba di jambatan Sungai Maligan dan air sedang deras melintasnya. Firman berhenti dan menguji kedalaman air dan buat keputusan menyeberang. Hati saya kecut kerana sungai tersebut luas dan jeramnya dalam. Jika arus menghanyut pikap, bermakna nasib kami 50/50. Tetapi Alhamdullilah. Selamat. Akhirnya kami tiba di perkampungan Long Pa Sia waktu asar selepas perjalanan sejauh 250 KM. Separuh daripadanya perjalanan offroad dalam gerimis yang mendebarkan. Kami bermalam di rumah Nooh Dawa - guide yang akan membawa kami treking ke Hutan Maga besok. Malam itu Nooh menjamu kami nasi beras bukit yang sangat sedap dan harum baunya.

Day 4.
Hawa di Long Pa Sia sangat sejuk. Penduduk menggunakan sumber air gunung yang disalur secara graviti. Bila bercakap mulut berasap. Kabus tebal menyelimuti persekitaran. Dalam suasana begini, selepas sarapan nasi beras bukit juga, pagi pagi lagi kami memulakan perjalanan ke hutan Maga arah ke sempadan Kalimantan dan Sarawak. Perjalanan di jangkakan selama 6 jam melalui denai, cerun bukit, tebing sungai dan melintas beberapa anak sungai.
Baharu sejam perjalanan, seekor kijang melintas di hadapan. Saya dapat melihat dengan jelas. Tidak lama selepas itu ,ketika menghampiri kem rehat pertama, terserempak seekor lagi kijang jantan sedang makan di tepi denai. Dan ketika hampir tiba di kem terakhir di kuala Sungai Maga dan Sunga Pa Sia, terjumpa seekor lagi kijang betina. Dalam 6 jam treking melintas 3 ekor kijang memberi alamat bahawa binatang liar memang jenuh dan jinak di sini. Selama saya terlibat dengan aktiviti junggle trekking, tidak pernah saya terserempak dengan kijang di Semenanjung kerana kijang terkenal sebagai binatang hutan yang amat sensitif dan liar. Malam pertama di sini sangat sejuk kerana hujan renyai renyai.

Day 5.
Berkhemah di tapak perkhemahan Taman Maga yang di bangunkan oleh Nooh Dawa, seorang aktivis alam sekitar berusia 55 tahun dari kaum Lundaye yang bertanggung jawab keatas penemuan dan pemeliharaan kawasan tersebut. Nooh membawa kami ke taman okid hutan, air terjun dan kesan peninggalan lagenda pahlawan puak Lundaye iaitu Pahlawan Semaring. Menurutnya terdapat 15 spesis orkid hutan di situ tidak terdapat di mana mana pelusuk dunia ini. Ini di akui sendiri oleh beberapa pelancung Barat yang pernah berkunjung kesitu. Selain itu Nooh membawa kami mengenal tumbuhan herba yang sangat berguna dalam perubatan tradisional dan juga digunakan sebagai bahan semulajadi dalam berbagai jenis minuman eksotik.

Day 6.
Bangun pagi kemaskan persekitaran. Hasrat ingin tinggal lebih lama tetapi kami telah kehilangan satu hari dan perlu balik ke KK kerana rakan rakan saya yang dua orang itu pekerja sektor awam. Mereka kehabisan cuti. Dalam perjalanan balik, Nooh membawa kami melalui jalan pintas dengan menyeberangi sungai Maga. Arus yang deras dan batu batu licin sedikit pun tidak menggerunkan mereka. Tanpa bantuan mereka sukar bagi kami menyeberang. Tiba di rumah Nooh waktu Asar. Selepas membersehkan diri dan berkemas serta minum petang , kami bertolak balik ke KK. Di pertengahan jalan, sekitar jam 10 malam, tayar pikup pancit dan kami terpaksa menukarnya di dalam gelap malam dan keadaan jalan basah berselut. Selepas singgah makan di Beufort akhirnya tiba di hotel Promenade hampir jam 1 pagi.

Day 7
Hari untuk berehat dan mengemas barang serta membeli belah untuk di bawa pulang. Merayau di pasar membeli ikan tuna segar dengan harga cukup murah . Ikan bilis dan udang kering jugak. Selain kualiti amat tinggi, harganya sangat rendah. Semasa membeli ikan, apabila di bungkus, akan datang kanak kanak menawarkan bag palstik kepada kita dengan harga 20 sen. Saya bagi satu ringgit, kanak kanak itu menolak sehingga berkali kali saya memberi dan memaksa baru dia ambil. Katanya harga bag palstik itu cuma 20 sen , bukan seringgit. Ternyata dia sangat gembira.

Day 8.
Berkemas untuk pulang. Penerbangan jam 9 malam. Masih ada waktu. Paklah dan Haji Halim yang rajin memasak hari ini memasak sup dan menjemput Firman makan bersama. Pak Lah juga menjemput anak saudaranya turut serta. Tengahari itu kami makan dengan seoronok beramai-ramai. Kebetulan Firman dan anak saudara Pak Lah dulu sama sama menuntut di Al Azhar , Mesir.
Di lapangan Terbang, ketika check in, kami diberitahu penerbangan kami lewat satu jam. Tetapi petugas kaunter menawarkan penerbangan yang akan berlepas sebelum itu jika kami mahu. Tanpa berfikir kami terus setuju dan mengambil penerbangan lebih awal. Tiba di LCCT jam 9.20 malam.







Tuesday, 27 April 2010

MENGAIL DI PULAU TENGGOL

Bulan April. Bermakna musim tengkujuh di pantai timur baru berakhir. Kini musim turun ke laut kembali semula setelah berehat lebih tiga bulan. Mansor dan Misman yang mengetuai dan merancang proram ini sejak awal awal telah menempah sebuah bot nelayan di Kuala Dungun. Destinasi kali ini ialah perairan Pulau Tenggol - antara lubuk idaman setiap kaki pancing.
Perjananan dari Bangi ke Kuala Dungun memakan masa lebih kurang lima jam. Kami tiba sejurus sebelum subuh.
Sarapan nasi dagang. Merayau di pasar mencari sotong umpan. Sedikit bekalan makanan dan bahan untuk memasak di atas bot kelak. Dan memunggah peralatan dari kenderaan ke dalam bot. Akhirnya jam sepuluh pagi baru dapat bertolak
Menyusur keluar dari Kuala Dungun, pemandangan waktu pagi sungguh cantik. Cuaca baik sekali. Dari jauh kelihatan pantai pekan Dungun yang menjadi santai pelajar UiTM Trengganu. Perjalanan di jangka mengambil masa dua jam.
Dalam perjalanan kelihatan gerombolan ikan aya atau ikan tongkol berkejar kejar bermain alun. Tekong cuba berputar balik menunda umpan tetapi ia tidak berhasil. Lupakan ikan tongkol, kami berlabuh di unjam pertama. Menggunakan mata kail apollo mencari anak ikan selar atau lolong untu di buat umpan tenggiri.
Menjelang tengahari , semua mula melabuhkan joran. Misman dan wak jawa kawan nya menggunakan kekili elektrik. Rakan rakan lain semuanya dgn joran dan kekili kelas satu. Saya hanya menggunakan kekili DAM model 560 yang saya beli lelong di Jerman dulu. Kecik kemetot dan semua mentertawakan saya. Tidak mengapa. Saya cuma hendak pancing ikan saiz kecil. Saya guna tali kecil dan mata kail kecil serta umpan kecil. Jadi lah saya pemancing ikan lolong ( ikan Uji Rashid).
Sepanjang hari hanya ikan kerapu bara, ikan cermin dan ikan selar yang dapat dinaikkan. Ikan besar tidak kunjung tiba sehingga waktu malam bila Misman berjaya menaikkan seekor tenggiri saiz lebihkurang 15 Kg. Tidak lama lepas itu, rancangan ditukar untuk mencandat sotong. Ketika inilah warna langit mula berubah. Cahaya bulan kian pudar. Di hujung horizon, saya melihat petir memintas mintas. Seketika baru melabuhkan sauh dan rakan saya sempat mendaratkan tiga ekor sotong, laut mula bergelora. Alun semakin kasar. Saya mula pening. Pakai life jaket dan simpan perkakas kemudian baring di bucu buritan bot. Tidak lama lepas itu terasa rintik rintik hujan. Tekong membuat keputusan kembali ke pengkalan. Dalam gelap malam, kami meredah alunan ombak yang bergulung-gulung. Sesekali air laut melimpah di atas dek dan kami terpaksa berdiri dan bergayut pada tiang bumbung bot. Tidak seorang pun bercakap sehingga kami tiba muara Kuala Dungun sejurus sebelum subuh.
Melalui pengalaman hidup seorang nelayan, besar maknanya kepada saya bila hendak menawarkan harga rendah ketika membeli ikan.



Tuesday, 28 July 2009

Kuda


Minggu lalu pi kandang kuda sahabat saya di Dengkil sesudah agak lama tak pi. Communicate dengan kuda ni seronok sebab dia ni binatang yang agak nakal dan cerdik. Ada sekor baka Arab namanya Sanson. Masa baru sampai dulu, dia tak kenai orang Melayu lagi, bukan main xsyen. Silap sikit kira nak tokak kita. Tapi selepas beberapa bulan, dia jadi jinak dan sungguh manja. Kawan saya beli dari Australia dengan harga RM40K seekor dan dia ada dua ekor baka tersebut yang digunakannya untuk breeding.


Menatang kuda ni kalau nak approach dia, mesti kena kenal dia dulu, sebut namanya dan kalau dia dah pasang telinga dengan corong kedepan, buleh la usap-usap muka dia. Kalau corong telinga dia tala kebelakang dan nafasnya mendengus, jangan dok tebiang, silap hari bulan kena penendang dia. Adalah menjadi satu pantang larang approach kuda dari belakang.


Kawan saya ni sangat minat dengan kuda. Dia mula bela dengan dua ekor kat belakang rumah di taman tempat tinggalnya. La ni dia beli satu ekar tanah dan buat kandang proper. Dia ada lebih kurang 18 ekor semuanya termasuk Horses, Pony dan kuda Kenit (Bonzai). Selain bela suka-suka untuk bersukan, dia bisnis transport, import dan biakbaka kuda.


Menunggang kuda menjadi amalan Rasulullah dan para sahabat. Jadi kalau nak bersukan dengan mendapat pahala sunnah, moh pergi bersukan menunggang kuda. Hashim memang tera tunggang kuda. Masa kat Rusia dia tunggang dua hari dua malam tak pakai pelana semasa pi memburu kambing gurun di sempadan Rusia dengan Monggolia.


Tapi macamana pun dia bisik kat saya selepas balik dari rumah CheAzmi aritu " aku ingat lagi dulu, Cheazmi tumbuk aku kat dagu sampai telentang.."


Friday, 29 May 2009

Penjara Tanpa Dinding - The Cambodia expriences

Sebaik pesawat Royal Air Cambodge mencecah landasan Pochentong International Airport di pinggir bandaraya Phnom Penh yang masyhur itu , saya dapat melihat dengan jelas barisan bangkai-bangkai helikopter tentera Amerika tersadai dalam semak , seperti jerangkung yang sedang bertapa.

Seterusnya , menunggu bagasi adalah satu penyiksaan. Semuanya manual dan hanya satu saja laluan untuk semua pesawat yang mendarat. Ianya lebih teruk dari Padang Kapai Terbang Kepala Batas , Alor Setar.

Memasuki bandaraya Phnom Penh , saya bagaikan melalui terowong masa , kembali ke tahun-tahun 40an atau 50an , kalau lah tiada kereta-kereta Toyota Camry dan Kia Sportage mengaum-ngaum.

Kampuchea. Kehidupan sungguh mencabar bagi rakyatnya. Yang kaya tersangat mewah. Yang miskin pula tersangat lara.

Sewaktu berhenti untuk membeli duit Riel , saya di serbu oleh sekumpulan kanak-kanak peminta sedekah. Mengasak juga ialah penjaja-penjaja berbagai jenis barangan sehingga kalut saya dibuatnya. Sungguh mudah bagi mereka untuk mengetahui saya orang luar kerana wajah orang Kampuchea kering garing berbanding orang luar yang bulat berminyak.

Persinggahan pertama selepas itu ialah Masjid Dubai . Masjid ini di pagari oleh rumah-rumah orang Khmer. Mereka memotong jerejak besi pagar masjid untuk membuat laluan masuk kerumah mereka. Mereka juga dengan bebas membuka warung di dalam perkarangan masjid.

Kami bertanya hal ini kepada Imam Masjid tersebut. Dengan nada sedih dan kesal dia berkata , perkara ini sukar dielakan. Mereka telah mengadu kepada mufti , tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Orang Khmer lansung tidak menghormati orang Islam di bandaraya ini.

Selain itu , masjid ini tiada bekalan air. Bil bulanan mencecah USD500.00 tidak dapat dijelaskan . Penggunaan air tidak dapat di kawal.

Disebabkan masalah air , maka pengiring kami , saudara Harun mencadangkan sebuah lagi masjid di kampung Chroy Chong Wa Luar sebagai tempat menginap. Kampung pinggiran bandar ini terletak di tebing Sungai Mekong sebelah timurnya dan Sungai Basaac di barat. Masjid tersebut dinamakan Masjid Al Azhar. Qariahnya seramai 190 keluarga.

Kami menemui Imam rawatib , Tuan Haji Yusuf. Beliau boleh berbahasa Melayu sebagaimana kebanyakan imam-imam di sana. Beliau sangat gembira menerima tetamu dari Malaysia. Semua penduduk kampung berhimpun. Mereka tahu , orang Malaysia datang bersama rezeki dari Allah yang Maha Pemurah. Imam Haji Yusuf menjemput kami kerumahnya . Petang itu kami berpeluang menikmati ikan Toman panggang , sup air sayuran dan ulam-ulaman , iaitu lah menu utama makanan mereka.

Tidur di masjid Al Azhar , saya lah yang paling lewat kerana melayan mereka yang datang beramai-ramai untuk bertanya kabar serta berkawal untuk kami. Seorang pemuda membawa AK 47 dan seorang lagi membawa .54 lengkap dengan peluru terhunus. Senjata tersebut kebetulan milik anak dan menantu Tuan Imam Yusuf yang bertugas sebagai anggota keselamatan. Kebanyakan mereka kelihatan bagitu biasa menggunakannya walaupun baru remaja. Seorang pemuda kemudian memanjat kelapa muda untuk minuman ditengah –tengah malam gulita itu.

Selesai urusan di kampung ini , besoknya melawat muzium Killing Field. Bangunan bekas sekolah tinggi ini di jadikan tempat melatih kader-kader regim Pol Pot sebelum di jadikan kem tahanan dan penyiksaaan keatas rakyat Kampuchea terutamanya orang Islam. Ia sungguh mengerikan.

Seterusnya , kami bertolak ke kampung Cham di utara. Perjalanan menggunakan Coaster mengambil masa tiga jam. Jaraknya sejuah 180 KM. Merentasi suasana kampung , pemandangan sungguh menakjubkan. Pohon kelapa laut bercacakan sejauh mata memandang. Kampuchea adalah negara yang buminya mendatar kecuali di kawasan sempadan dengan Thailand , Laos dan Vietnam. Antara bulan Disimber dengan Mac , mereka melaui musim panas yang sangat kering.

Kampung Cam adalah laluan jalanraya terakhir ke arah Utara. Selepas ini perjalanan adalah dengan bot. Jembatan sedang di bina merentasi permukaan Mekong di kampung Cham.

Di pengkalan , bot-bot berbaris menunggu. Air sungai Mekong surut jauh kedasar pada musim kering. Tebing setinggi 50 meter mencerun di semua bahagian.

Kami mengambil bot laju kerana jarak perjalanan ke destinasi adalah jauh.

Memudiki sungai Mekong , meluncur di permukaan airnya yang jernih dan tenang , sungai Mekong menyimpan seribu rahsia kemanusiaan di dasarnya. Sungai ini hulunya di negeri China dan merentasi semua negara Indo –China seperti Thailand , Laos , Kampuchea dan Vietnam.
Bahagian paling lebar ialah 3 KM dan paling sempit ialah 1km. Ia adalah sumber rezeki utama kepada rakyat Kampuchea di sepanjang tebing . Spesis ikan paling banyak ialah patin dan toman.

Menjelang senja kami tiba di destinasi selanjutnya , Kampung Rho. Memikul barang memanjat tebing mengimbau kenangan saya memanjat Gunung Tahan dulu. Sebab itu lah agaknya orang-orang Kampuchea kelihatan berulas walaupun susuk tubuh mereka kecil. Otot-otot mereka seperti kain basah diperah dan tidak ada yang ditemui berperut boyot. Perempuannya pulak langsing dan ramping. Sementara kanak-kanaknya sangat comot dan terbiar namun raut wajah mereka kelihatan suci berseh dengan mata yang bersinar-sinar.

Kenderaaan selanjutnya ialah motosikal. Sebuah motosikal tiga penumpangnya. Kereta kuda ( kuda padi ) digunakan sebagai kenderaan kargo. Jalan penghubung adalah jalan tanah merah yang berdebu. Apabila memijak , tapak kasut akan terbenam kedalam debu. Apabila kenderaan lalu , debu-debu berterbangan kemudian menyelimuti persekitaran.

Negara ini memerlukan masa untuk pembangunan semula. Kesan peperangan sangat jelas. Ramai janda dan anak yatim yang terbiar. Lelaki yang berkaliber pula ramai gugur di medan pertempuran. Kegiatan ekonomi bergantung kepada bertani, ternakan dan menangkap ikan cara konvensional.
Kebanyakan mereka pada musim kering seperti ini duduk melahu saja di rumah. Padi ditanam setahun sekali. Musim kering hanya debu yang berselimut atas permukaan bumi. Manakala ikan-ikan menyorok di dasar sungai. Bekalan tenaga melalui generator bagi keperluan awam. Untuk persendirian , mereka gunakan apa saja yang boleh memberi cahaya. Pukul sembilan , selepas isya ‘ suasana menjadi gelap gulita. Sunyi sepi . Melainkan suara unggas malam mendayu-dayu menyanyikan lagu alam.Inilah rutin hidup mereka. Sebab itu tidak hairanlah kalau mereka sungguh produktif menzahirkan keturunan.

Perkampungan orang-orang kampuchea terdapat di sepanjang tebing Sungai Mekong. Rumah-rumah tersusun rapi dalam lot-lot yang pada anggaran saya lebih kurang 40 kaki lebar. Rumah-rumah di bina dari kayu-kayu hutan dan dinding dari buluh atau papan. Atapnya genting.

Masyarakat Islam dan Buddha hidup berjiran. Tanda pengenalan kelompok etnik ini ialah masjid atau wat . Perempuan Islam pemalu dan bertudung ala Kelantan atau Pattani. Lelakinya berkopiah putih. Kanak-kanak serupa saja. Namun penempatan orang Khmer buleh di kenali juga melalui suasa kotor dan berbau hanyir , kesan ternakan babi. Di sini , babi di angkut seperti petani di Kedah mengangkut guni padi dengan menggunakan motosikal. Beberapa rakan loya di buatnya.

Kampung Rho adalah satu dari beberapa kampung yang menjadi kampung angkat untuk kami membantu pendidikan agama di daerah pendalaman Kampuchea. Di kampung ini lah madrasah pertama di bina tahun lalu dan kini penuntutnya berjumlah 449. Orang.

Sehari dalam kehidupan mereka , sungguh besar maknanya dalam kehidupan saya. Benar lah kata ulamak bahawa bila kenyang perut kita akan tidur tapi bila lapar kita akan berusaha. Dengan makna kemewahan yang di kecapi sering melekakan kita tetapi jika kelaparan maka kita sentiasa beringat. Saya melihat nilai hidup dan ketaatan mereka menunaikan amanah agama jauh lebih baik dari rakyat Islam di negara maju atau kaya.

Saya berkesempatan berbual dengan beberapa orang pemuda. Salehuddin adalah bekas pelajar sekolah tinggi yang mendapat tempat di universiti tetapi terpaksa melupakannya kerana masalah kewangan. Shakrane , seorang graduan universiti tetapi menjadi anggota tentera dengan gaji RM120.00. Saudara Harun sendiri adalah anggota polis yang bergaji demikian. Sementara Mohd. Fauzi yang tertangguh pengajiannya di Malaysia membuka kelas pengajian di kampungnya dengan mengajar kanak-kanak di bawah rumah.
Kebayakan guru-guru agama di sana mengajar percuma . Sara hidup mereka bergaantung kepada ihsan orang-orang kampung.

Ustaz Abdul Wahid mencadangkan supaya rakyat Malaysia melabur disana dalam sektor pertanian dengan membuka ladang kelapa sawit. Walaupun saya rasa cadangan itu adalah baik tapi ianya mustahil di laksanakan dalam tempoh terdekat ini.

Kehidupan yang sukar ini menyebabkan mereka mengambil sikap yang mudah terhadap kehidupan. ( simple life ).

Pergerakan di dalam bandar Phnom Penh misalnya , tiada satu sistem lalu lintas yang kompleks . Cukup dengan syarat pemanduan di lorong sebelah kiri sahaja . Yang lainnya berdasarkan “ common sense “. Sebab itu kita dapat lihat kenderaan silang menyilang dan bersimpang siur bergerak. Tetapi tiada pula berlaku kemalangan.

Satu perkara menarik ialah cara penunggang-penunggang atau pembonceng motosikal wanita menggunakan kenderaaan tersebut. Mereka biasanya membonceng dengan duduk menyenget sebelah menjuntai kedua-dua kaki, tidak terkankang seperti kita di sini. Penunggang pula biasanya mengepit kedua lutut mereka serapat-rapatnya pada raga motosikal sementara kedua-dua lengan dikepit ke badan menutup ketiak. Ia kelihat sopan dan sesuai dengan sifat keperempuanan ketika menunggang kenderaaan demikian.

Orang-orang Kampuchea mengambil hanya keperluan dalam hidup mereka. Tidak bermewah-mewah. Kereta atau motosikal sebagai kenderaan , bukan untuk bergaya. Sebab itu tidak kelihatan langsung penunggang atau pemandu mengubahsuai kenderaan mereka atau memandu secara berbahaya seperti memecut atau memotong sayur di sana sini. Fesyen pakaian pun tidak banyak. Bentuk rumah pun semuanya serupa. Semuanya ala kadar saja.

Ditengah-tengah bandar Phnom Penh terdapat kawasan pasar lambak di kenali sebagai Russian Market. Banyak terdapat barangan terpakai disini seperti pisau , jaket , kasut dan beg. Kebanyakannya Made in USA.

Urusniaga menggunakan USD. Matawang Kampuchea ialah Riel. Tetapi ia hanya digunakan di kawasan pendalaman. Satu USD bersamaan dengan 380 Riel atau RM3.80.

Setelah melawat beberapa buah kampung , misi kami kesana di anggap selesai untuk kali ini. Tiga tapak baru dikenalpasti untuk dibangunkan sekolah dan madarasah iaitu di qariah kampung Chroy Chongwa Luar di Phnom Penh , Kampung Som di Sihanoukville berhampiran pelabuhan dan sebuah penempatan orang dusun Cham di pendalaman bersempadan dengan Vietnam.

Pembangunan ini tentunya memerlukan belanja walau tidak besar seperti kita di sini. Oleh yang demikian itu , kepada sesiapa saja yang berhajat membuat amal dengan mewakaf atau menderma dalam bentuk wang ringgit bagi membantu membangunkan pendidikan agama masyarakat Islam Kampuchea, mereka adalah dialukan.

Terdapat banyak pertubuhan sukarela yang membawa misi seperti ini khusunya dari kalangan rakyat Malaysia.

Kampuchea – rakyatnya menggelar negara itu sebagai Penjara Tanpa Dinding. Apakah maksud yang tersirat di sebalik gelaran itu , hanya Allah saja yang Maha Mengetahui.